KHUTBAH JUMAAT
“KELEBIHAN BULAN SYAABAN”
(21 Jun 2013 /12 Syaaban 1434H)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan takwa kepada Allah subhanahu wata’ala dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Allah subhanahu wata’ala menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tajuk “KELEBIHAN BULAN SYAABAN”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kini kita berada dalam bulan Syaaban. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaannya. Bulan Syaaban adalah masa untuk kita membuat amalan kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk kita menghadapi bulan Ramadhan yang merupakan medan ibadah bagi umat Islam. Dalam sebuah hadis, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:

“Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah subhanahu wata’ala di atas semua hamba-Nya”.

Bulan Sya’ban adalah bulan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan bagi kita sebagai umatnya. Berbagai ganjaran yang disediakan untuk setiap amalan bagi persediaan menghadap bulan Ramadhan. As-Syeikh Othman Ahmad Syeikh al- Khaubawi di dalam kitab Durratun Naasihin menceritakan tentang amalan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik radhiallahu anhu:

“Sesungguhnya Allah subhanahu wata’ala telah menciptakan laut dari sinar di bawah Arash, lalu menciptakan satu malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arash dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hamba Allah membaca selawat untukku di bulan Sya’ban, maka Allah subhanahu wata’ala menyuruh malaikat itu, supaya menyelam di air. Malaikat itu pun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu yang sangat banyak sekali. Maka Allah subhanahu wata’ala menciptakan dari tiap-tiap titis air itu, satu malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai hari Kiamat.”

Continue reading

Advertisements