BUKIT MERTAJAM 16 Ogos – Selepas rakaman video perbuatan seorang lelaki membelasah isterinya di dalam lif tersebar di internet, seorang pegawai veterinar hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan sengaja mencederakan wanita tersebut di sebuah hospital, empat hari lalu.

Mohammad Affandi Ismail, 36, yang merupakan penjawat awam yang bertugas di Jerantut, Pahang mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Arif Mohammad Shariff.

Dia yang memakai baju-T berwarna ungu dan berseluar jean biru kelihatan tenang ketika prosiding berjalan dan dilihat beberapa kali tersenyum kepada ahli keluarganya dan pemberita yang memenuhi galeri awam mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 36 tahun di dalam lif di Hospital KPJ Bandar Perda di sini kira-kira pukul 4 petang, 12 Ogos lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Suhaimi menawarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh sementara Mohammad Affandi memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan baru sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM5,000 berserta seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 12 September ini.

Mohammad Affandi yang tidak diwakili peguam bela dibebaskan selepas membayar wang jaminan.

Sejak selasa lalu, pengguna internet di negara ini digemparkan dengan rakaman video sepanjang 2.20 minit yang memaparkan kejadian seorang isteri dibelasah teruk oleh suaminya di hadapan dua anak mereka yang masing-masing berusia empat dan lima tahun di dalam sebuah lif dikongsi melalui akaun Facebook.

Lebih malang lagi dalam video bertajuk ‘Suami dayus pukul isteri depan anak’ turut menunjukkan aksi lelaki berkenaan menendang isterinya, seorang pekerja kilang sehingga tersungkur sebaik sahaja pintu lif terbuka.

Memetik laporan akhbar hari ini, wanita itu yang diberi perlindungan sementara (IPO) sedang dalam proses perceraian dengan suaminya di mahkamah syariah dan nekad untuk berpisah serta tidak akan rujuk kembali sekalipun dipujuk oleh lelaki itu. –Sumber

Artikel berkaitan: Dunia Putar: Belasah isteri dalam lif kerana anak enggan ikut bapa keluar?

Advertisements