SEREMBAN 21 Julai – Usianya baru 26 tahun namun wanita tempatan ini berlagak bagaikan berada di negara Barat apabila tanpa segan silu bersekedudukan dengan kekasihnya warga Nigeria yang berusia lingkungan 30-an.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Wati berkata, teman lelaki yang dikenalinya sejak enam bulan lalu di sebuah pusat beli-belah di Selangor itu disifatkannya sebagai budiman, lebih menyayangi dan pandai memikat hatinya.

Atas sebab itu, dia mengambil keputusan untuk bersama lelaki berkenaan biarpun mengetahui perbuatannya itu bertentangan di segi agama kerana baginya kasih sayang dari teman lelakinya mengatasi segala-galanya.

“Saya pernah berkahwin dengan lelaki tempatan tetapi malangnya dia seorang penagih dadah tegar. Malah sepanjang saya hidup dengannya, dia sering mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dalam memberikan nafkah.

SEBAHAGIAN warga Nigeria yang ditahan anggota Imigresen dalam serbuan di Mantin, Negeri Sembilan, kelmarin.

“Saya sangat kecewa dan kerana itulah saya mengambil keputusan untuk bersama dengan teman lelaki saya. Bagi saya bukan soal wang menjadi ukuran tetapi lebih penting dia amat melindungi saya dan lebih terbuka terhadap saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Wati merupakan antara warga tempatan yang ditahan bersama 13 warga Nigeria serta seorang warga Guinea dalam satu operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen negeri di Pangsapuri Sri Jasmin dekat Mantin malam tadi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman memberitahu, kes wanita warga tempatan yang mengikut teman lelaki warga asing seperti ini bukan sesuatu yang baru.

Malah katanya, kebanyakan wanita ini tidak sedar mereka sebenarnya bakal dipergunakan oleh lelaki asing untuk tujuan lain antaranya menjadi pengantara atau ‘keldai’ bagi aktiviti jenayah terancang.

“Sebab itu mereka ini menggunakan apa juga cara bagi memastikan wanita-wanita tempatan tertarik dengan mereka tanpa menyedari ada muslihat bagi memastikan aktiviti jenayah yang dirancang,” katanya.

Ditanya mengenai operasi berkenaan, Faizal Fazri memberitahu, serbuan dimulakan pukul 12.30 tengah malam dan kesemua warga asing yang berusia antara 20 hingga 30-an ditahan kerana tinggal melebihi masa di negara ini.

Faizal Fazri berkata, wanita berkenaan turut ditahan kerana dipercayai melindungi teman lelakinya dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 56 (1)(a)(d) Akta Imigresen 1959/63.

“Wanita berkenaan juga akan diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kerana bersekedudukan bersama teman lelakinya,” katanya. –Sumber

Advertisements