Rahim Thamby Chik

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kaum Bumiputera tidak menggunakan peluang dengan sepenuhnya untuk menjalankan perniagaan, sebaliknya menceburi bidang yang kurang berisiko tinggi dan kurang pulangannya.

Ini kerana, mereka terlalu selesa dan tidak mahu mengambil risiko berdepan dengan kegagalan.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata, ini memberi peluang kepada golongan bukan Bumiputera untuk mendominasi sektor perniagaan yang memberi pulangan yang tinggi sekali gus mengaut keuntungan yang banyak.

“Kaum Bumiputera banyak menceburi bidang pembinaan, menjadi kontraktor berbanding penglibatan dalam bidang perkhidmatan hospitaliti, minyak dan gas serta farmaseutikal.

“Penglibatan mereka dalam bidang tersebut sangat rendah dan ini memberi peluang kepada bukan Melayu untuk menjana pulangan yang tinggi menerusi perniagaan itu, ” katanya kepada Utusan Malaysia disini baru-baru ini.

Katanya lagi, golongan Bumiputera perlu ke hadapan dan tidak lagi menolak peluang yang telah diberikan oleh kerajaan.

“Kerajaan kini memberi banyak peruntukan khas kepada Bumiputera terutama industri PKS, justeru kita perlu anjakan paradigma dan tidak hanya mengharapkan bantuan semata-mata untuk terus maju,” katanya.

Selain itu, Gabem kini juga sedang giat menjalankan kempen satu keluarga, satu syarikat, sekali gus meningkat ekonomi sesebuah keluarga dan meningkatkan pendapatan golongan Bumiputera.

“Kita mahu mereka dilatih untuk mengendalikan syarikat terlebih dahulu, barulah mengendalikan sesebuah projek. Ini akan mengurangkan risiko kegagalan yang menjadi faktor utama dalam kalangan Bumiputera.

“Mereka ini akan dilatih untuk menguruskan sebuah syarikat, mengawal untung rugi dan aliran wang keluar masuk dengan bersepadu,” jelas Rahim.

Jelas beliau lagi, kempen satu keluarga, satu syarikat ini akan dimulakan dengan aset yang dimiliki dalam sesebuah keluarga itu dan menjadi modal dalam bentuk saham.

“Kita berhasrat untuk mempunyai sekurang-kurangnya 50 buah syarikat di setiap negeri.

“Kita juga akan menyediakan pusat sehenti di Kuala Lumpur bagi menyediakan khidmat nasihat, bantuan pengenalpastian projek, pencarian lokasi dan latihan,” katanya.

Beliau juga berkata, Gabem turut berkerjasama dengan Persatuan Akauntan dan Persatuan Setiausaha Malaysia dalam melaksanakan kempen itu. –Sumber

Advertisements