Cuba rampas Istana Negara

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Polis menahan 10 individu termasuk dua wanita yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Panji Hitam Dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara kerana mendakwa pewaris Yang di-Pertuan Agong yang sah dan cuba mengambil alih pentadbiran Istana Negara, awal pagi ini.

Kesemua mereka yang berpakaian serba hitam dan menaiki tiga buah kereta ditahan ketika berhimpun di hadapan pintu 1, Istana Negara di sini, pukul 4.10 pagi sambil membawa 13 helai bendera serta beberapa helai watikah bai’ah (perjanjian untuk taat).

Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya berasal dari Melaka, Perak, Kedah dan Johor dengan sebahagiannya didapati tidak membawa kad pengenalan.

Kesemua individu terlibat yang berusia 11 hingga 50 tahun telah dibawa ke Balai Polis Travers untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supritendan Aida Abdul Hamid ketika dihubungi memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 121B Kanun Keseksaan atas kesalahan terhadap kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertuan Negeri dan boleh dihukum penjara seumur hidup atau dikenakan denda.

Sementara itu, tinjauan mendapati seorang daripada ahli kumpulan tersebut telah mendakwa sebagai Raja Nusantara Kumpulan Empayar Langkasuka dan membuat pengakuan tersebut di dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Lelaki itu turut mendakwa sebagai Pemuda Bani Tamim yang menjadi penyedia tapak kepada kemunculan Imam Mahdi. –Sumber

Advertisements